CERDASKAN ROHANI!



Dalam kegusaran menghadapi wabak COVID-19, amat penting untuk kita mempunyai strategi bagi memastikan apa jua cabaran dapat dihadapi dengan tenang. Salah satu aspek yang penting ialah dengan meningkatkan kecerdasan rohani pada diri setiap Muslim.Kecerdasan Rohani atau terjemahan Inggerisnya spiritual intelligence adalah kunci utama untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Bagi seorang Muslim, kecerdasan rohani yang dimaksudkan haruslah merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Elmi Baharuddin (2013) mendefinisikan kecerdasan rohani sebagai kekuatan dalaman manusia yang berasal daripada jiwa, hati, perasaan, keimanan yang mendalam, amalan ketekunan berdasarkan petunjuk daripada Allah dan akhlak yang baik.


Perkataan rohani atau spiritual adalah kata lawan dari perkataan yang berunsurkan material iaitu bukan material. Unsur-unsur bukan material ini dikenal pasti sebagai roh (al-ruh) dan jiwa (al-nafs), yang fitrahnya diciptakan oleh Allah SWT. Ia juga dirujuk sebagai suatu keupayaan mental yang menyumbang kepada kesedaran, integrasi, aspek penyesuaian aplikasi daripada perkara bukan material dan keadaan kerohanian seseorang. 


Tokoh-tokoh Islam seperti Al-Ghazali (1988), Sa’id Hawwa (1988), al-Muhasibi (2003), Ibn Qayyim al-Jauziyyah (2001) turut berpendapat bahawa tingkah laku, amalan dan perbuatan boleh dibentuk melalui jiwa yang kuat dan penuh ketaatan kepada urusan agama. Sa’id Qutb (1983) juga menyatakan bahawa kelemahan tingkah laku dan moral seseorang pula berpunca daripada lemahnya penghayatan nilai agama sehingga menjurus kepada pelanggaran norma-norma dan perintah dalam agama. Oleh itu, dalam menghadapi situasi norma baharu, aspek kerohanian seseorang memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan tingkahlaku dan perbuatan individu (Mazlan Ibrahim et.al, 2020). Jadi marilah kita bersama-sama mencerdaskan rohani masing-masing demi mengukuhkan kemampuan kita menghadapi masa hadapan.

 


Comments

Popular posts from this blog

MUSIBAH WABAK COVID-19 DAN KEPENTINGAN KEROHANIAN