WABAK COVID-19 LATIHAN MEMBERSIH ROHANI
Bagi mencegah penularan COVID-19, antara norma baru yang diperkenalkan sebagai amalan ialah kebersihan diri. Ini termasuk kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau bahan nyah kuman (sanitizer). Adalah suatu yang baik untuk mencuci tangan apabila berada di luar rumah, terutamanya apabila telah menyentuh sebarang permukaan. Manakala di dalam rumah pula, keraplah mencuci tangan setelah melakukan aktiviti yang melibatkan sentuhan pada permukaan yang kotor atau disyaki mempunyai kuman.
Bukan sahaja ketika berhadapan dengan musibah COVID-19 ini, malah Islam mengajarkan supaya kita berusaha menjaga kebersihan diri dengan sebaiknya dalam apa juga keadaan sekalipun. Hikmah daripada tuntutan Islam tersebut kini dapat dilihat dengan lebih jelas iaitu bagi menjaga kesihatan diri dan mencegah daripada timbulnya penyakit. Malah inilah sebagai satu peluang menjadikan amalan-amalan ini sebagai latihan bagi membersihkan rohani. Panduan dalam Islam yang terkait dengan penjagaan kebersihan, khususnya amalan taharah meliputi mensucikan najis, berwuduk, mandi wajib, dan tayammum. Rutin seharian seperti membasuh tangan semasa penyediaan makanan, membasuh tangan sebelum dan selepas makan, membasuh tangan selepas keluar daripada tandas juga merupakan amalan-amalan yang dianjurkan.
Oleh yang demikian, kita perlulah berfikiran positif dengan menukar perspektif kita dan menganggap wabak COVID-19 ini sebagai satu rahmat Allah untuk melatih kita membersih rohani dengan amalan-amalan penjagaan kebersihan fizikal.
Comments
Post a Comment