4 DOMAIN SPIRITUAL MANUSIA

Imam Sa’id Hawwa (1999) telah berpendapat bahawa empat domain spiritual iaitu al-Ruh, al-Qalb, al-Nafs dan al-Aqal memainkan peranan yang sangat penting dalam diri seorang manusia. Ketika membincangkan tentang menjaga perihal hati (islah al-Qalb), Said Hawwa (1999) menjelaskan bahawa seseorang itu tidak berupaya untuk sentiasa menjaga hatinya (al-Qalb) jika dia banyak melakukan maksiat dan kurangnya amal kebaikan. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah kesedaran seseorang untuk mengubat hatinya untuk menjadi lebih baik. Hati yang sakit ini merujuk kepada hati yang banyak melakukan maksiat, dosa, dan perkara yang sia-sia. Imam Sa’id Hawwa menjelaskan bahawa unsur hati (al-qalb) mempunyai dua pancaindera, iaitu 1. Hati yang kedudukannya di sisi kiri badan manusia yang mempunyai fungsi khas kepada badan manusia. Manakala hati Nurani (al-Qalb) adalah unsur halus yang bersifat latifah rabbaniyyah (halus dan cenderung kepada fitrah asal kejadiannya yang taat kepada perintah Pencipta-Nya.

Sheikh Said Hawwa turut menjelaskan bahawa domain roh (al-ruh) memainkan peranan penting dalam pembentukan domain-domain lain seperti domain al-nafs, al-aqal dan al-qalb (Elmi Baharuddin & Zainab Ismail. 2015, ms. 570). Malah, Sheikh juga turut membincangkan dengan mendalam bahawa setiap domain ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Apabila jiwa manusia dikuasai oleh nafsu maka ini menjelaskan domain al-nafs. Jika seseorang dapat membezakan antara nafsu yang baik atau sebaliknya, maka domain al-aqal memainkan peranannya. Seterusnya, bila mana jiwa manusia dikuasai oleh iman, ia merujuk kepada domain al-qalb. Apabila jiwa manusia cenderung kepada ilmu yang benar dan ketaatan kepada Allah, Sheikh Said Hawwa mengklasifikasikan domain ini sebagai al-ruh. (Said Hawwa. 1999). Malah, perbahasan tentang keempat-empat domain ini menurut Imam Said Hawwa boleh dikategorikan kepada dua keadaan; iaitu yang bersifat fizikal dan yang bersifat spiritual (rohani).

Beliau membahagikan makna al-qalb kepada dua pengertian; 1. hati fizikal iaitu jantung  yang merupakan seketul daging lembut berbentuk hati di dada kiri yang fungsinya mengalirkan darah ke anggota yang lain, 2. Hati rohani adalah hati yang bersifat halus (latifah) dalam alam rabbaniyyah dan ruhaniyyah. (Said Hawwa, 1979; Elmi Baharuddin & Zainab Ismail, 2015).

Domain al-aqal juga mempunyai dua pengertian iaitu; 1. al-aql sebagai pengetahuan yang dapat mengetahui pelbagai isu dan peristiwa, mengambil pengajaran daripada masalah tertentu dan membuat kesimpulan daripada masalah tersebut.  2. Domain al-aqal sebagai satu elemen yang menyedari bahawa hakikat ilmu pengetahuan berpusat di hati iaitu (al-Qalb). Oleh itu, beliau mengkategorikan aqal kepada dua bahagian iaitu akal iaitu al-Aqal Taklifi dan al-Aqal al-Shar’ii. Al-Aqal al-Taklifi bermaksud kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT dan dipertanggungjawabkan ke atas individu manusia, dan al-Aqal al-Shar’ii adalah merujuk kepada keupayaan seseorang dalam mengawal nafsunya dan mentaati Allah SWT (Said Hawwa, 1979). Ini juga selari dengan pandangan Imam al-Ghazali (t.t.) bahawa akal terbahagi kepada dua, akal jasmani iaitu pengetahuan kepada sifat sesuatu perkara dan pengetahuan kepada hakikat ilmu yang berpusat di hati (al-Qalb al-Latifah).

Domain al-nafs juga terbahagi kepada dua iaitu merujuk kepada jiwa yang tenang atau jiwa yang gundah. Menurut Sheikh Said Hawwa (1979) domain al-nafs boleh difahami sebagai kekuatan, kuasa kemarahan, keinginan dalam diri manusia dan juga sebagai jiwa yang lembut (latifah) dan penuh rahsia. Jiwa yang tenang ini dipengaruhi dengan rasa keimanan, ketaatan (‘ubidiyyah) dan sistem moral (akhlak) untuk membentuk manusia menjadi insan muslih (Uthman El-Muhammady. 2010).

Dalam perbahasan tentang domain al-ruh, al-aqal, al-nafs dan al-qalb, ramai sarjana Islam menyokong bahawa keempat-empat domain ini haruslah saling lengkap melengkapi dan bekerjasama dalam pendidikan kerohanian seorang Muslim. Ini juga penting untuk mewujudkan  keseimbangan dalam keempat-empat domain ini. 

Apa yang utama ialah setiap manusia harus menyedari bahawa dirinya terbahagi kepada dua elemen, elemen fizikal dan elemen spiritual yang saling mempengaruhi emosi, fizikal, mental, spiritualnya. Malah, petunjuk kecerdasan spiritual dalam Islam adalah berlandaskan keseimbangan dan harmoni. Domain aqal tidak dapat berfungsi dengan baik jika ia tidak dikaitkan dengan hati (domain al-qalb) dan jiwa (domain al-nafs). Sebagi contoh, otak hanya akan menghasilkan maklumat, tetapi jiwa memberikan rasa atau nilai dalam setiap tindakan manusia. Perbuatan terbina berdasarkan pertimbangan yang menyeluruh yang mendasari aspek nilai dan etika. Semua potensi dalam diri manusia ini haruslah dikembangkan secara holistik (Sidek Baba, 2010). 

Comments

Popular posts from this blog

CERDASKAN ROHANI!

MUSIBAH WABAK COVID-19 DAN KEPENTINGAN KEROHANIAN