BIOGRAFI SAID HAWWA
Imam Said Hawwa atau nama sebenarnya Sa'id
bin Muḥammad Dib Hawwā, dilahirkan di kota Hamah di Syria pada tahun 1935. Ketika
usianya dua tahun, bondanya telah meninggal dunia dan beliau diasuh oleh
ayahanda dan nendanya. Walaupun bergelar yatim, beliau mendapat pendidikan yang
baik melalui guru-guru yang dihormati keilmuannya antaranya Sheikh Muhammad
al-Hamid, Sheikh Muhammad al-Hashimi, Sheikh Abdul Wahab Dabas, Sheikh Abdul
Karim Arrifa’i, Sheikh Ahmad Murad dan Sheikh Muhammad Ali Murad, Sheikh
Muhammad al-Siba’i, Mustafa al-Zarqa dan lain-lain lagi (Wan Muhammad Yusuf Wan
Chik et.al, 2018).
Seawal usianya 12 tahun, beliau telah didedahkan dengan
karya-karya ahli falsafah Greek dan Barat seperti Aristotle, Plato Nichart dan
banyak membaca tentang sejarah revolusi Perancis, buku-buku agama seperti
tasawuf, akhlak, akidah. Pada tahun, 1948, beliau memulakan pengajian di
Sekolah Menengah al-Rusyd yang memberi kesan penting kepada kehidupan Sheikh Sa’id
Hawwa kerana berpeluang menyertai halaqah ilmu yang disampaikan oleh seorang
guru terkenal iaitu Sheikh Muhammad Hamid di Masjid Sultan. (Sa’id Hawwa, 1987:
24; Mawaddah Baderun, 2016: 23).
Beliau menyambung pengajian di Fakulti Syariah, Universiti Damsyik pada tahun 1956. Selain mengikuti pengajian di dalam universiti, beliau juga tururt mendampingi ulama-ulama tersohor seperti Dr Mustafa al-Siba’i, Sheikh Muhammad al-Hasyimi, Sheikh Abdullah al-Harari iaitu seorang ulama dan pakar hadith dan Dr. Fauzi dalam ilmu Fiqh mazhab Hanafi. (Sa’id Hawwa, 1987: 44). Semasa berguru dengan Sheikh Muhammad al-Hashimi, beliau telah mula berazam untuk mempraktikkan amalan sufi dalam dirinya secara konsisten dengan mengikuti tariqat sufi, majlis-majlis zikir dan selawat yang dianjurkan oleh sheikh-sheikh tariqat sufi seperti Sheikh Burhani, Sheikh Abdul Qadir ‘Isa dan Sheikh Basyir al-Bahuni. (Mawaddah Baderun & Haziyah Hussin, 2016).
Comments
Post a Comment