MUJAHADAH SEBAGAI INTERVENSI TERAPI PSIKOSPIRITUAL

 

Peranan Mujahadah (Teras Syariah)

Imam Said Hawwa telah menukilkan bahawa mujahadah atau melawan hawa nafsu dan emosi tidak baik merupakan satu elemen yang perlu diberi perhatian di dalam kecerdasan kerohanian seseorang. Mujahadah adalah permulaan kepada hidayah dalam mengejar taqwa Allah. Atau dengan kata lain, mujahadah iaitu perbuatan melawan hawa nafsu yang tidak baik akan membuka pintu-pintu Hidayah Allah SWT dan sekaligus untuk mendapatkan taufiq daripada Allah. SWT.

Bentuk-Bentuk Mujahadah

Beriman kepada Allah SWT dan Keesaan Allah

Syeikh Said Hawwa menjelaskan bahawa iman dan tauhid adalah perkara tunjang dalam kehidupan Muslim. Walau bagaimanapun, ramai orang Islam yang tidak menyedari bahawa beriman kepada Allah itu adalah suatu bentuk mujahadah. Syeikh turut menekankan bahawa keimanan kepada Allah SWT merupakan mujahadah yang paling besar kerana seseorang itu telah keluar daripada kekufuran dan kebatilan.

ما أَصابَ مِن مُصيبَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

“Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang) kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Taghabun, ayat 11).


Melakukan segala kefardhuan yang dituntut pada masanya (terkait dengan waktu) 

Imam Said Hawwa menekankan kepada keperluan menunaikan kefardhuan mengikut tuntutan masa iaitu melakukan ibadah seperti mendirikan solat fardhu mengikut ketetapan waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memberi zakat jika sudah cukup haulnya, menunaikan haji pada waktunya, berbuat baik dan berbakti kepada ibubapa ketika mereka masih hidup, mengeratkan silaturrahim dengan sanak saudara yang sering terkait dengan waktu. 

Syeikh Said Hawwa juga mengingatkan bahawa ada waktu dan ketikanya kefardhuan seseorang itu sama dengan orang lain, tetapi ada waktunya, ia tidak sama dengan orang lain mengikut keadaan dan situasi semasa. Sebagai contoh seseorang yang sakit dan tidak boleh berpuasa di bulan ramadhan, maka ketika itu ia bukan masa yang fardhu baginya, begitu juga orang yang tidak ada wang, tidak boleh membayar zakat, orang yang sudah kehilangan kedua orang tuanya, dia tidak dapat membuat kebajikan kepada kedua orang tuanya. Setiap kefardhuan itu sering dikaitkan dengan masa dan waktu (hal. 120). 

Rukun-Rukun Mujahadah (Teras Akhlak)

Imam Said Hawwa menghuraikan tentang empat rukun mujahadah; i. Uzlah (Mengasingkan diri), ii. Somtu (Mendiamkan diri, iii. Sahru (Bangun Malam), iv. Ju’ (Berlapar).

1.      Uzlah (Mengasingkan Diri)

Kaedah asal menurut Syeikh Said Hawwa ialah al-Ijtima’ al-Solih, al-khultah al-Solihah yang bermaksud keberadaan dalam kelompok/jamaah adalah baik, seperti juga bercampur dalam masyarakat adalah perkara yang baik. 

Untuk itu, ada beberapa perkara yang menurutnya wajib bagi seseorang untuk ber’uzlah. Antaranya: (1) untuk perkara-perkara yang mewajibkan uzlah seperti bercampur dengan perkara batil dan menyesatkan. (2) untuk perkara-perkara mendatang yang mengikut keperluan semasa dan bersifat sementara. Ini boleh dikaitkan dengan perintah kawalan pergerakan yang membataskan pergerakan manusia atas sebab-sebab atau risiko yang mendatang. (3) ia menjadi keperluan kerana ia berupaya merawat hati dan jiwa manusia {كدواء للقلب}. Apabila menyentuh perkara ini Syekih menyebutkan bahawa yang menentukan perkara ini adalah fatwa/ mufti/ orang yang dirujuk untuk menentukan tempoh kadar masa ber’uzlah, tempat dan orang yang terlibat (hal.122). Said Hawwa juga menitipkan beberapa ungkapan ahli tasawuf di dalam bukunya tentang keperluan uzlah untuk merawat hati manusia.

al-Samtu (Berdiam Diri)

Perkara menjaga lidah adalah perkara yang utama dalam Islam dan banyak disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith. Syeikh Said Hawwa turut menyebut bahawa perbuatan menjaga lisan adalah sanagat penting dan turut dibahaskan oleh ulama-ulama lain termasuk Imam al-Ghazali di dalam ihya’nya. Perkara asas dalam menjaga lisan ialah mengawal lisan daripada dua keadaan: lagha (sia-sia) dan perkara yang mendatangkan dosa di samping menggunakan ia untuk perkara kebaikan. Oleh itu, ilmu sangat penting bagi seorang Mu’min bagi membezakan apa itu perkara sia-sia (lagha), buruk (sharr) dan kebenaran (haqq).

Lidah merupakan alat untuk untuk berkomunikasi. Ia juga digunakan untuk menzahirkan apa yang penting bagi manusia. Walau bagaimanapun, menurut Imam Said Hawwa, nafsu manusia sentiasa cenderung untuk perkara-perkara seperti merasa bangga, mencela, mencetuskan pergaduhan, bertikam lidah, membalas dendam, memberitahu orang lain kelebihan dan kebaikan diri sendiri, bercerita perkara yang sia-sia. Maka, untuk  menahan lidah daripada kecenderungan seseorang perlu membiasakan diri dengan diam. Diam, menurut Said Hawwa penting untuk dua keadaan (1) perkara yang mendatangkan dosa, (2) perkara yang tidak memberi apa-apa faedah seperti bercakap kosong, perkara yang sia-sia. Selain daripada dua keadaan ini, haram bagi seseorang untuk diam terutamanya dalam menegakkan kebenaran dan membawa kebaikan seperti mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Berlapar (al-Ju’)

Terdapat banyak hadith yang memperihalkan tentang bagaimana berlapar dapat menjadi ubat hati dan merawat sebahagian penyakit.Kaedah umum tentang keperluan makan dan minum di dalam Islam ialah dengan mengambil sekadarnya sehingga seseorang dapat melaksanakan kewajipan dan apa yang difardhukan ke atasnya. Ada 3 peringkat yang dinukilkan oleh Syeikh Said Hawwa di dalam bukunya iaitu:

al-Sahru (Pengurusan waktu malam)

Imam Said Hawwa (1999) menekankan terhadap peri penting pengurusan waktu malam termasuklah urusan tidur dan bangun bagi seseorang Muslim. Ini kerana akibat tidak menguruskan masa tersebut, umat Islam berisko untuk tidak melakukan perkara yang sangat dituntut oleh agama iaitu seperti solat isyak berjamaah, beristighfar ketika waktu sahur, berqiyamullail, berwirid dan berzikir serta membaca al-Qur’an (hal. 127). Malah, beliau juga menerangkan bahawa pengurusan tidur manusia pada setiap zaman perlukan kepada kawalan (tahakkum) dan rawatan (‘ilaj).

Oleh itu, menurut Said Hawwa, dalam agama Islam, berjaga malam atau qiyamullail mepunyai peranan yang khusus, begitu juga dengan urusan berdoa, membaca istighfar di sepertiga malam, begitu juga dengan solat isyak dan subuh secara berjamaah. Dalam sebuat hadith Nabi SAW riwayat Imam Muslim ada menyebutkan; “ Barangsiapa menunaikan solat isyak secara berjamaah, seolah-olah dia telah membangunkan separuh daripada malamnya, dan barangsiapa solat subuh berjamaah, seolah-olah dia telah solat sepanjang malam.” Kedua-dua solat ini merupakan solat yang paling sukar bagi orang munafik, melainkan mereka mengetahui tentang apa yang tersirat di dalamnya, maka mereka akan segera mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. (Hadith riwayat Abu Daud). Begitu juga dalam hadith lain, “Barangsiapa solat fajar secara berjamaah kemudian membaca zikir sehingga terbit fajar, dan selepas itu menunaikan solat dua rakaat, baginya pahal menunaikan haji dan umrah sepenuhnya, sepenuhnya, sepenuhnya.” (Riwayat Tarmizi).

Harus juga diingat bahawa berjaga malam ini bukanlah matlamatnya kerana kadang-kadang ia boleh menjadi makruh apabila seseorang melakukan perkara-perkara yang lagha dan membuang masa, apatah lagi melakukan perkara haram. Tetapi apa yang dimaksudkan oleh Imam Said Hawwa ialah pengisiannya. Iaitu mengisi masa malam dengan tujuan ilmu, amal, zikir, qiyam dan membaca al-Qur’an serta tidak meninggalkan solat jamaah (ms.129). 

Comments

Popular posts from this blog

CERDASKAN ROHANI!

MUSIBAH WABAK COVID-19 DAN KEPENTINGAN KEROHANIAN